MSU: UNIVERSITI PILIHAN DI PENTAS GLOBAL

Artikel daripada Dewan Ekonomi Jilid 22 Bil. 02/2015 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka

ts_ekonomi

Management and Science University (MSU) sudah lebih tiga dekad memainkan peranan sebagai salah sebuah institusi pendidikan profesional di negara ini.

Bermula daripada sebuah kolej iaitu Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjut (PTPL) pada tahun 1981, kejayaan MSU dibentuk sehingga menerima penarafan dua kali sebagai sebuah Universiti Cemerlang Tahap 5 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (kini Kementerian Pendidikan). Pengiktirafan ini mendorong MSU ke arah menjadi salah sebuah universiti antarabangsa terbaik di Malaysia. Pencapaian MSU sejajar objektifnya menyediakan pendidikan yang mementingkan kualiti pengalaman pembelajaran demi membentuk masa depan yang lebih terjamin, khususnya bagi para pelajarnya, dan amnya bagi pembangunan sumber manusia negara.

“Pengalaman MSU bermula daripada sebuah kolej kecil sehingga dinaik taraf menjadi sebuah universiti adalah suatu perkembangan yang positif. MSU dibentuk menurut fasa, menjadikan MSU unik daripada segi transformasinya ke peringkat global,” jelas President MSU, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.

Tambah Profesor Dr Mohd Shukri, beliau bersama-sama “orang kuat” MSU yang lain membentuk universiti ini sehingga berjaya menjadi sebuah IPTS bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan pelajar dalam melanjutkan pengajian. Slogan “Global University of Choice” yang diterapkan MSU sentiasa menjadi pendorong semangat Profesor Dr Mohd Shukri bagi meneruskan perjuangan membina institusi pengajian tinggi tempatan yang menjadi pilihan bukan sahaja oleh rakyat negara ini malahan dalam kalangan pelajar antarabangsa.

“Fokus MSU adalah untuk membentuk graduan yang mampu memberikan impak kepada negara menerusi kebolehpasaran mereka menyaingi peluang pekerjaan yang terbuka luas kepada mereka. MSU mengutamakan kerjaya yang bakal diceburi graduan. Tumpuan diberikan terhadap latihan industri yang berkaitan dengan kebolehpasaran graduan di negara ini, serta memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi trend semasa,” jelas Profesor Dr Mohd Shukri.

Ketika ini, lebih daripada 150 kursus ditawarkan di MSU; antaranya Perubatan, Sains Kesihatan, Kejururawatan, Farmasi, Perniagaan, Pengurusan, Perakaunan, Kulinari, Hospitaliti, Teknologi dan Kejuruteraan Komputer, serta Fesyen.

Membina sebuah institusi pengajian tinggi pastinya tidak sama seperti membina dan membangunkan perniagaan lain. Profesor Dr Mohd Shukri percaya bahawa untuk menjayakan sesebuah institusi pengajian tinggi, seseorang individu atau kumpulan yang mendirikan institusi tersebut berbeza paradigma daripada segala segi.

“Menubuhkan universiti merupakan sebuah perjuangan jangka panjang dan memerlukan perhatian serius. ‘Perniagaan’ ini tidak boleh dianggap suatu perkara yang dapat dijayakan dalam jangka masa pendek. Sekiranya ada yang berpendapat begitu, maka institusi atau universiti yang mahu dibina itu tidak akan berjaya seperti yang diimpikan,” jelas Profesor Dr Mohd Shukri.

Beliau juga menjelaskan bahawa membangunkan universiti sama seperti melahirkan modal insan, yakni tidak boleh dilihat daripada aspek komersil semata-mata. Ianya harus dilihat sebagai sebuah usaha yang bakal melahirkan modal insan yang cemerlang lagi terbilang demi negara dan bangsa.

Profesor Dr Mohd Shukri berpendapat bahawa kejayaan beliau membangunkan MSU adalah berdasarkan perancangan jangka masa panjang seiring usaha membentuk dan melahirkan modal insan yang berjaya memenuhi kehendak industri dalam negara dan juga global.

“Kejayaan MSU pada hari ini adalah disebabkan keunikan struktur dan perspektif organisasi serta perjalanan fasa pembentukan MSU sejak hari pertama institusi ini ditubuhkan. Daripada awal lagi kami nekad membina MSU menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa. Harus ditekankan bahawa MSU amat mementingkan kualiti, daripada segi pembelajaran sehinggalah kepada membentuk graduan berkualiti agar benar-benar bermanfaat kepada negara,” tegas Profesor Dr Mohd Shukri.

Ketika diwawancara sidang editor majalah Dewan Ekonomi, Profesor Dr Mohd Shukri menyatakan bahawa misi MSU ialah untuk menjadi universiti terkemuka pilihan bagi pendidikan khusus dan professional, di samping menawarkan pendidikan yang holistik lagi relevan dengan keperluan industri, memenuhi keperluan semasa dan juga global, serta mengekalkan tanda aras etika yang tinggi.

Bagi menjayakan misi tersebut, MSU menerapkan beberapa visi yang dikongsi seluruh warga organisasi demi mencapai keperluan dan kehendak masa kini dalam melahirkan modal insan yang sentiasa menjadi tumpuan keperluan negara dan antarabangsa. Antaranya ialah membentuk graduan yang tinggi nilai moralnya dan berbeza daripada graduan IPTS mahupun IPTA lain; memupuk komitment kepada pembelajaran sepanjang hayat, bersifat kepimpinan yang tinggi, dan berintegriti profesional.

Selain itu, MSU sentiasa memajukan dan menyediakan keperluan asas kepada pelajar seperti biasiswa; peluang pendidikan yang mampu dimiliki oleh setiap individu; juga latihan dan perkhidmatan berkualiti demi membina graduan yang menjadi tumpuan pasaran kerja; serta mengekalkan standard kurikulumnya untuk layak diberi pengiktirafan dan akreditasi dalam industri berkaitan.

MSU sentiasa mendukung budaya kecemerlangan akademik, mencerminkan standard tertinggi dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang inovatif dan berstrategi, serta komited sepenuhnya terhadap kejayaan pelajar-pelajarnya, merangsang intelek dan memupuk minat belajar dan membuat penyelidikan dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Kami di MSU mahu sentiasa melahirkan graduan berkualiti, menawarkan kursus dan pembelajaran yang berkualiti, juga menjadi universiti berkualiti dan terbaik. Inilah kunci kejayaan MSU,” ujar Profesor Dr Mohd Shukri.

Tambah Profesor Dr Mohd Shukri lagi, MSU bukanlah sebuah institusi yang sentiasa menyasarkan keuntungan semata-mata tetapi menitikberatkan kualiti daripada pelbagai sudut. Umum mengetahui kebanyakan IPTS sebaliknya menjadikan institusi pendidikan mereka sebagai ruang dan peluang mendapatkan keuntungan lumayan. Menurut Profesor Dr Mohd Shukri, objektif utama MSU lebih kepada membina sebuah institusi pendidikan tinggi berperingkat antarabangsa dan mencapai sasaran kualiti dalam melahirkan graduan modal insan yang memenuhi kriteria kebolehpasaran.

Apabila ditanya tentang pulangan sektor perniagaan industri ini, Profesor Dr Shukri menjelaskan. “Bagi saya, MSU seumpama PNB (Permodalan Nasional Berhad). Apa-apa yang diperolehi kami jadikan sebagai keuntungan jangka panjang. Ini harus dihubungkaitkan dengan objektif utama MSU iaitu kualiti. Sekiranya kualiti dijaga, nescaya pulangan atau keuntungan jangka masa panjang dapat dicapai.”

Profesor Dr Mohd Shukri menegaskan bahawa MSU sentiasa menerapkan budaya pendidikan berkualiti agar dapat melahirkan lebih ramai graduan cemerlang. Pendidikan, bukannya keuntungan semata-mata, mesti dijadikan objektif utama. Tanggungjawab sebagai pendidik harus dipandang serius. Sekiranya ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, nescaya sesebuah institusi pendidikan akan mencapai misi dan matlamat yang ditetapkan.

Tambah beliau lagi, sekiranya nilai kualiti sentiasa diterapkan dalam pelbagai sudut termasuk pembelajaran, pengurusan, dan pembangunan pelajar, nescaya kejayaan yang setimpal pasti dicapai. Profesor Dr Mohd Shukri menegaskan bahawa kualiti adalah tunjang kejayaan MSU sehingga ke peringkat antarabangsa.

Misi dan visi MSU yang sentiasa meletakkan kualiti sebagai objektif utama ke arah menjadi universiti pilihan mendasari kecemerlangan MSU baik di dalam mahupun di luar negara. Paling membanggakan, MSU mengekalkan kedudukan kecemerlangannya menerusi Penarafan Institusi Pengajian Tinggi.

Menurut Profesor Dr Mohd Shukri, kejayaan yang dicapai MSU adalah berkat kegigihan semua pihak di universiti itu dalam usaha mencapai kecemerlangan setaraf kualiti universiti terkemuka. Saban tahun MSU mencapai peningkatan tahap kebolehpasaran graduannya, yang kini berada pada tahap 95 peratus. Angka ini mencerminkan keupayaan graduan MSU mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh pengajian.

“Secara tidak langsung, ini membuktikan bahawa graduan MSU menjadi pilihan majikan, baik daripada sektor swasta mahupun awam, setanding graduan universiti terkemuka di negara ini,” kata Profesor Dr Mohd Shukri.

Pencapaian dan kecemerlangan MSU sekaligus melayakkan pengiktirafannya sebagai Universiti Cemerlang oleh Accreditation Service for International Schools, Colleges and Universities (ASIC) dari United Kingdom selain daripada Kementerian Pendidikan.

Mengulas pencapaian MSU, Profesor Dr Mohd Shukri menyatakan kepuasan dengan kejayaan graduan MSU menjadi modal insan yang berkebolehpasaran dan berdaya saing dalam pasaran sektor pekerjaan yang kompetitif. Kejayaan seumpama itu bagi beliau menandakan tercapainya objektif MSU.

“Sudah semestinya menjadi suatu kepuasan buat diri saya apabila pelajar yang dididik di MSU mencapai kecemerlangan. Ini menunjukkan tenaga pengajar MSU adalah golongan profesional yang berjaya membentuk pelajar MSU menjadi modal insan yang cemerlang,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, untuk menjayakan sesebuah organisasi perniagaan, pastinya akan ada suka-duka dan cabaran yang terpaksa ditempuhi. Bagi MSU, ini termasuk memenuhi dasar yang ditetapkan oleh badan tertentu. Menurut Profesor Dr Mohd Shukri, sebagai peneraju salah sebuah institusi pendidikan yang menjadi pilihan di negara ini, MSU memerlukan dasar yang konsisten. Pada pandangan beliau ini kerana MSU mempunyai sasaran jangka panjang bagi segala misi dan visinya.

Oleh itu menurut Profesor Dr Mohd Shukri, bukan sahaja MSU memerlukan dasar (dalam pendidikan) yang konsisten bahkan seluruh institusi pendidikan dalam negara. Ini penting supaya pihak institusi dapat mengatur perancangan jangka panjang dengan rapi. Walau bagaimanapun, beliau tetap berterima kasih terutama sekali kepada pihak kerajaan kerana banyak memberikan sokongan kepada MSU dalam apa-apa jua perkara yang berkaitan demi memerkasakan sektor pendidikan tinggi sehingga MSU berjaya seperti pada hari ini.

Cabaran kedua dalam bidang pendidikan sudah semestinya yang melibatkan usaha memeroleh tenaga kerja berbakat. Menurut Profesor Dr Mohd Shukri, bukan mudah mendapatkan tenaga professional yang benar-benar pakar dalam sesuatu bidang. Bagi sesebuah institusi menjadi benar-benar berkualiti, institusi tersebut haruslah mempunyai tenaga pakar yang dapat memenuhi kehendak persekitaran pembelajaran yang disasarkan.

“Cabaran seterusnya adalah untuk mengatasi kedua-dua cabaran itu supaya dapat disatukan bagi mencapai misi dan visi kami. Hal ini tidak mudah diatasi sekiranya sesebuah institusi pendidikan tidak bersedia menghadapinya, dan untuk menjadikan institusi tersebut sebuah tempat ‘membaja’ ilmu dalam jangka masa yang panjang. Walau bagaimanapun, kami di MSU sentiasa bersedia dan mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapinya,” tegas Profesor Dr Mohd Shukri.

Selain itu, menurut Profesor Dr Mohd Shukri lagi, memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan setaraf institusi pendidikan tinggi lain juga adalah suatu cabaran yang perlu diambil perhatian. Ini kerana selain kompetitif, IPTS sering berdepan stigma negatif. Dengan itu MSU perlu bekerja lebih kuat supaya pelajar berpuas hati dengan ilmu yang mereka perolehi di sini. Bagi mengekalkan standard kualiti pengajian, banyak usaha telah MSU laksanakan; antaranya, semua program yang telah mencapai tempoh matang mesti mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Pengiktirafan daripada badan professional dan universiti dari dalam dan luar negara juga perlu diperoleh.

Cabaran adalah lumrah, namun cabaran dapat dijadikan pembakar semangat bagi melahirkan graduan cemerlang. MSU kini sudah mempunyai beberapa kampus di luar negara, dibuka lebih daripada 10 tahun lalu. Antaranya di Bangalore, India; Colombo, Sri Lanka; dan Jakarta, Indonesia. Malah menurut perancangan, lebih banyak lagi cawangan MSU akan ditubuhkan di pentas antarabangsa, kata Profesor Dr Mohd Shukri.

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian MSU yang bermula dengan Kolej PTPL. Demi meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa akan datang, pengantarabangsaan MSU perlu dilakukan, yang seterusnya akan mengangkat nama Malaysia ke pentas global sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan tinggi bertaraf dunia.

“Walau apa jua cabaran dan rintangan mendatang, kami di MSU sentiasa bersedia mengharunginya. Perancangan strategik juga merupakan kunci kejayaan kami di MSU. Jika ini dapat dilaksanakan dengan teratur, nescaya sesebuah institusi pendidikan malahan sesebuah organisasi perniagaan pasti akan boleh berjaya dan sekaligus mencapai kualiti serta standard yang tinggi,” ulas Profesor Dr Mohd Shukri.

Sebagai usahawan sosial yang bersemangat untuk melihat kecemerlangan bidang pendidikan tinggi dan sebagai pengasas IPTS yang berjaya di negara ini, sememangnya Profesor Dr Mohd Shukri banyak menerima penghargaan dan pujian daripada pelbagai pihak daripada dalam mahupun luar negara. Dedikasi beliau dalam memastikan MSU muncul sebagai universiti berpiawai global dilihat apabila MSU menjadi universiti bukan dari Jepun yang pertama menerima akreditasi daripada Alliance of Business Education & Scholarship of Tomorrow (ABEST 21), Tokyo, Jepun. Sejak 2010, MSU telah mula berkhidmat sebagai ahli lembaga ABEST 21.

Usaha Profesor Dr Mohd Shukri menggalakkan mobiliti antarabangsa kepada pelajar demi memahami budaya barat khususnya dalam bidang pendidikan telah melayakkan beliau dilantik sebagai Lifetime Senator oleh Universiti Hof di Jerman. Manakala inovasi beliau bagi bidang pendidikan perubatan antarabangsa khususnya dalam mewujudkan akses kepada pendidikan perubatan di Eropah Timur untuk pelajar Malaysia telah menganugerahkan Profesor Dr Mohd Shukri dengan pingat Dr Tytus Chalubinski daripada Universiti Perubatan Warsaw, Poland.

Selain itu, pencapaian dan kejayaan cemerlang Profesor Dr Mohd Shukri dalam inisiatif beliau merapatkan jurang pendidikan antara Jepun dengan Malaysia telah diiktiraf melalui anugerah Doktor Kehormat dan Doktor Honoris Causa oleh Universiti Antarabangsa Josai, Jepun.

Visi beliau mengantarabangsakan jenama MSU dalam bidang pendidikan telah membawa MSU turut terlibat dengan pelbagai organisasi antarabangsa. Antaranya, Association of Commonwealth University di United Kingdom, University Mobility in Asia Pacific di Taiwan, Association of Asia-Pacific Business School di New Zealand, Federation of Universities of the Islamic World di Maghribi, Counsel for the Advancement and Support of Education di Amerika Syarikat, Association for the Study of Medical Education dan Accreditation Service for International Schools, Colleges and Universities, kedua-duanya di United Kingdom.

Penubuhan Yayasan MSU merupakan kemuncak inisiatif Profesor Dr Mohd Shukri mempromosi kecemerlangan dalam bidang pendidikan negara. Yayasan MSU menjadi landasan pendededahan kepada pelajar sehingga ke peringkat antarabangsa melalui program pertukaran pelajar. Lebih RM60 juta telah dibelanjakan melalui pelbagai skim biasiswa yang ditawarkan MSU, dan lebih RM2 juta diperuntukkan setiap tahun untuk pendidikan berterusan. Sejak 33 tahun lalu, banyak manfaat yang diperoleh daripada inisiatif ini.

Sebelum mengakhiri wawancara, Profesor Dr Mohd Shukri menasihati pelapis atau usahawan yang ingin menceburi bidang pendidikan supaya menanam niat ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan. Kesabaran, keinginan yang tepat, minat yang mendalam, serta misi dan visi yang selari dengan objektif pasti dapat membuahkan kejayaan dalam apa jua bidang yang bakal diceburi. Beliau amat berharap agar pada masa akan datang institusi pendidikan swasta lain dapat benar-benar membina institusi berkualiti demi menjamin masa depan cemerlang anak bangsa negara.