Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana melapangkan masa melayari laman web MSU. Semoga maklumat yang dipaparkan bermanfaat kepada anda.

Tujuh tahun sudah berlalu, semenjak pengambilan pertama MSU dan dalam jangka masa berkenaan banyak yang kita raih dalam usaha kita memperkasakan MSU sebagai sebuah universiti pilihan. Kenaikan taraf MSU kepada universiti penuh pada Oktober 2007 merupakan salah satu daripada pengiktirafan teristimewa dalam sejarah pencapaian kita. Kenaikan taraf ini diberikan berdasarkan merit pencapaian MSU dalam usahanya menawarkan kualiti pendidikan yang tinggi.

Fokus kita kepada program pengajian yang relevan kepada keperluan industri serta keprihatinan kita terhadap keperluan trend semasa, telah banyak membantu graduan kita menghadapi tuntutan kerjaya mereka. Bidang seperti perubatan, sains kesihatan, kejururawatan, farmasi, pengurusan, perniagaan, perakaunan, hospitaliti, perundangan, sains maklumat dan kejuruteraan adalah merupakan kekuatan MSU. Pengkhususan dalam bidang-bidang ini telah memainkan peranan positif dalam penjanaan modal insan yang berkebolehan.

Dari sudut mengantarbangsakan MSU, kita telah mula menyaksikan peningkatan penyertaan pelajar luar negara khususnya dari Timur Tengah, Eropah dan rantau ASEAN. Dalam masa yang sama juga unit pertukaran pelajar antarabangsa kita atau pun ISEP telah banyak membantu pelajar MSU menyambung pengajian lanjut mereka di beberapa buah universiti yang berlokasi di Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan Asia.

Pencapaian kita hingga ke saat ini adalah berpunca daripada semangat kerja berpasukan yang ditonjolkan oleh warga MSU. Tidak kira sama ada tenaga pengajar mahupun staf sokongan, semua bermatlamat untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar kita.

Kami berkeyakinan penuh serta berazam memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan berkualiti. MSU bertekad untuk memperkasakan lagi budaya kecemerlangan yang telah disemaikan oleh institusi collegiate nya iaitu PTPL.

Prof Dato Wira Mohd Shukri Ab. Yajid
Presiden